Antara berita menarik dalam pasaran saham Malaysia awal September lalu ialah penyenaraian syarikat 99 Speed Mart dalam Bursa Malaysia. Rangkaian pasar mini dengan slogan “Dekat Lagi Murah” ini memang sinonim dalam setiap komuniti di Malaysia.
Berikut adalah 9 perkara menarik tentang latar belakang dan IPO 99 Speed Mart:
1 – Tarikh IPO
Tarikh penyenaraian syarikat 99 Speed Mart adalah pada 9 September 2024, yang juga bersempena dengan nama syarikat itu sendiri, 99.
Menurut Lee Thiam Wah, pengasas 99 Speed Mart, nombor 99 digunakan sebagai simbolik bahawa kesempurnaan itu sukar dicapai kerana sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dalam perniagaan.
Begitu juga dengan 99 Speed Mart, yang sentiasa berusaha untuk menambahbaik dalam mencapai kesempurnaan dalam perniagaan.
2 – IPO Terbesar di Asia Tenggara
IPO 99 Speed Mart pada 9 September lalu telah menjana RM 2.36 Billion dan menjadi IPO yang terbesar di Asia Tenggara untuk tahun 2024 setakat ini.
IPO 99 Speed Mart juga menjadi IPO terbesar di Malaysia sejak penyenaraian syarikat petrokimia dari Korea Selatan yang berpangkalan di Malaysia iaitu Lotte Chemical Titan Holdings pada tahun 2017.
Baca: Peluang Pelaburan Menerusi IPO di Bursa Malaysia
3- Hasil IPO
Menurut prospektus 99 Speed Mart, kutipan RM 2.36 BIllion daripada IPO itu akan digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dan disalurkan kepada 6 bahagian :
- 59% akan digunakan untuk menambah cawangan cawangan baru 99 Speed Mart.
- 15% akan digunakan untuk pembinaan Pusat Pengedaran baru.
- 8.3% akan digunakan untuk pembelian trak penghantaran.
- 7.2% akan digunakan untuk menaiktaraf cawangan cawangan 99 Speed Mart sedia ada.
- 6.8% akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank.
- 3.6% akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
4 – Dividen Syarikat
99 Speed Mart secara konsisten telah membayar dividen sebanyak RM 1.076 Billion kepada pemegang pemegang sahamnya dari tahun 2021 sehingga 31 Mac 2024.
Berikut adalah jumlah pembayaran dividen mengikut tahun:
- 2021: RM 154.3 Juta
- 2022: RM 431.8 Juta
- 2023: RM 390.5 Juta
- 2024 (sehingga 31 Mac): RM 100 Juta
Menurut prospektus, 99 Speed Mart menyasarkan pembayaran dividen sebanyak 50% daripada keuntungan syarikat kepada pemegang saham setiap tahun.
5 – Lee Thiam Wah
Lee Thiam Wah adalah anak kelahiran Klang yang kini berumur 60 tahun dan merupakan pengasas 99 Speed Mart. Lee Thiam Wah telah lumpuh separuh badan sejak 6 tahun akibat penyakit Poliomyelitis dan terpaksa berkerusi roda seumur hidup.
Akibat kehidupan berkerusi roda dan faktor kewangan keluarga, dia terpaksa menamatkan pembelajaran hanya selepas Darjah Enam.
Tetapi kekurangan itu tidak mematahkan semangat Lee Thiam Wah. Dia mula berniaga secara kecil kecilan yang sedikit demi sedikit membawa kepada pembukaan 99 Speed Mart.
Hasil usahanya itu, Lee Thiam Wah kini mempunyai empayar pasar mini terbesar di Malaysia dan merupakan usahawan yang disegani dalam dunia perniagaan
Kisah Lee Thiam Wah menjadi inspirasi kepada anak tempatan untuk terus berusaha walaupun mengalami cabaran dan kesukaran.
6 – Sejarah 99 Speed Mart
Selepas berniaga kecil kecilan di hadapan rumahnya, Lee Thiam Wah memulakan kedai runcit dengan nama “Pasar Raya Hiap Hoe” di Klang. Menjelang tahun 1992, Lee Thiam Wah menjual kedai runcit tersebut dan memulakan sebuah pasar mini dengan nama “Pasar Mini 99”.
Pasar Mini 99 terus berkembang kepada 8 cawangan di sekitar Lembah Klang pada akhir tahun 90-an.
Pada tahun 2000, Pasar Mini 99 dijenamakan semula kepada “99 Speed Mart”. Cawangan 99 Speed Mart terus berkembang dan pada tahun 2013, 99 Speed Mart berjaya memasuki pasaran Sabah dan Sarawak.
Sehingga awal September 2024, 99 Speed Mart kini mempunyai sebanyak 2,651 cawangan di seluruh Malaysia dengan 19 pusat pengedaran di 9 negeri.
7 – Pesaing Dalam Segmen Pasar Mini
Antara pemain lain dalam segmen pasar-mini di Malaysia ialah Econsave, BilaBila Mart, Giant Mini, myNEWS SUPERVALUE, TMG Express, Save, GT Mart dan Econo Jaya Mini Market.
Menurut prospektus, 99 Speed Mart merupakan pemain terbesar dalam segmen pasar-mini dengan liputan kawasan yang luas dan bilangan cawangan yang jauh lebih banyak dengan jumlah 2,651.
Pesaing terdekat 99 Speed Mart adalah Pasar Ekonomi Econsave dan BilaBila Mart yang hanya mempunyai 79 dan 55 cawangan di seluruh Malaysia.
99 Speed Mart juga mempunyai kelebihan dalam pengurusan lojistik sendiri termasuk mempunyai pusat pengedaran, trak penghantaran dan sistem pengurusan. Berbanding pemain lain yang terpaksa bergantung kepada pihak ketiga.
Kelebihan ini memberikan 99 Speed Mart kecekapan dalam pengendalian inventori dan margin keuntungan yang lebih tinggi.
8 – Kelebihan 99 Speed Mart
Berdasarkan prospektus, 99 Speed Mart turut menggariskan beberapa kelebihan mereka. Antaranya:
- Rangkaian pasar-mini tempatan terbesar di Malaysia dengan potensi perkembangan yang tinggi dalam segmen barangan runcit.
- Harga produk yang menarik dan pilihan produk yang menjadi tumpuan keperluan harian.
- Rangkaian Pusat Pengedaran seluruh negara dengan sistem kawalan berpusat yang meningkatkan kecekapan operasi.
- Platform perniagaan yang kukuh dan fleksibel untuk terus berkembang dengan efisyen.
9 – Status Shariah 99 Speed Mart
Sehingga IPO-nya pada awal September 2024, 99 Speed Mart tidak mendapat status patuh syariah.
Status ini adalah kerana, 11.3% daripada hasil jualan syarikat adalah daripada sumber yang tidak halal seperti minuman alkohol dan tembakau.
Majlis Penasihat Syariah (SAC) dalam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menggariskan 10% sebagai had keuntungan sesebuah syarikat dari sumber yang tidak halal untuk mendapat status syariah.
[…] Baca: 9 Perkara Tentang 99 Speed Mart […]